Back

Kes Jenayah di Sekolah: Kaitan antara Fungsi Kognitif Otak akibat Penggunaan Gajet dan Permainan Video

K ebelakangan ini, kes buli dan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia semakin meningkat dan mendapat perhatian masyarakat. Fenomena ini bukan sahaja membimbangkan dari segi keselamatan, tetapi juga menggambarkan perubahan terhadap perkembangan sosial dan kognitif remaja masa ini. Antara faktor yang sering dikaitkan dengan peningkatan tingkah laku agresif ini termasuklah penggunaan gajet secara berlebihan dan pengaruh permainan video yang bersifat ganas. Kajian menunjukkan bahawa penggunaan gajet dan permainan video secara berlebihan boleh memberikan kesan terhadap fungsi kognitif otak dan seterusnya mendorong pelajar kepada tingkah laku jenayah serta buli di sekolah.

Fungsi kognitif otak merangkumi keupayaan seseorang untuk berfikir, menilai, mengawal emosi, membuat keputusan serta memahami akibat sesuatu tindakan. Bahagian otak yang paling berperanan dalam hal ini ialah prefrontal cortex , iaitu kawasan yang bertanggungjawab terhadap kawalan diri dan sifat belas kasihan. Kajian neurosains menunjukkan bahawa pendedahan berpanjangan terhadap rangsangan ganas seperti video atau permainan yang melibatkan pergaduhan dan tembakan boleh menyebabkan penurunan aktiviti dalam prefrontal cortex . Keadaan ini membuatkan individu mudah bertindak secara impulsif, sukar mengawal kemarahan dan tidak memikirkan akibat perbuatan mereka. Ciri-ciri ini sering dikaitkan dengan pelaku buli atau mereka yang terlibat dalam jenayah di sekolah.

Penggunaan gajet secara berlebihan, terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah telah dikaitkan dengan masalah tumpuan, gangguan tidur dan penurunan prestasi akademik. Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan agar remaja tidak seharusnya menghabiskan lebih daripada dua jam sehari menggunakan skrin bagi mengelakkan kesan negatif terhadap perkembangan mental dan sosial. Apabila pelajar terlalu lama berinteraksi dengan gajet, bahagian otak yang bertanggungjawab terhadap pemprosesan cepat dan ganjaran ( reward center ) menjadi lebih aktif berbanding dengan bahagian kawalan diri. Hal ini menjadikan mereka lebih suka akan aktiviti segera dan mudah bosan serta kurang sabar dalam menangani situasi sebenar. Akibatnya, timbul peningkatan dalam kes pergaduhan, buli siber serta jenayah kecil di sekolah.

Permainan video pula mempunyai dua sisi yang berbeza. Permainan strategi dan pendidikan mampu meningkatkan kemahiran berfikir secara kritikal serta koordinasi tangan dan mata. Namun demikian, permainan video yang mengandungi elemen keganasan, seks atau ganjaran maya yang keterlaluan boleh menurunkan tahap simpati dan meningkatkan sikap agresif. Kajian American Psychological Association (APA) pada tahun 2023 mendapati bahawa remaja yang bermain permainan ganas lebih daripada tiga jam sehari menunjukkan aktiviti otak yang mirip dengan individu yang mempunyai gangguan kawalan impuls. Hal ini membuktikan bahawa pengaruh permainan video bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi juga memberikan kesan fisiologi terhadap fungsi otak.

Ketagihan terhadap gajet turut dikaitkan dengan risiko peningkatan kes jenayah di sekolah. Pelajar yang terlalu bergantung pada gajet sering menunjukkan tanda pengasingan sosial, tekanan emosi dan kekurangan kawalan diri. Dalam keadaan ini, mereka mudah terlibat dalam buli siber, penghinaan dalam talian atau penyebaran video yang memalukan rakan sebaya. Tambahan pula, apabila pelajar meniru tingkah laku ganas yang dilihat dalam permainan atau media sosial, mereka mungkin mula menganggap bahawa keganasan ialah cara yang boleh diterima untuk menyelesaikan konflik. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan risiko berlakunya kes jenayah seperti pergaduhan, pemerasan atau vandalisme di sekolah.

Penggunaan gajet secara berlebihan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak boleh mencetuskan gangguan perkembangan dan kesihatan mental apabila pendedahan ini berlaku pada usia yang terlalu awal dan tanpa kawalan. Interaksi digital yang keterlaluan berpotensi mengganggu perkembangan bahasa, sosial dan emosi sehingga wujud ciri yang menyerupai autisme-like symptoms kerana kanak-kanak kekurangan peluang berkomunikasi secara langsung dan tidak membina kemahiran interaksi manusia yang sebenar. Selain itu, skrin yang bergerak pantas, permainan video yang sangat merangsang serta notifikasi yang kerap boleh mewujudkan corak perhatian yang tidak stabil dan impulsif, sekali gus meningkatkan risiko tingkah laku mirip ADHD seperti sukar fokus atau mudah terganggu. Ketagihan gajet juga boleh mengasingkan individu daripada hubungan sosial yang sihat, mengurangkan aktiviti fizikal dan mengganggu kitaran tidur, faktor yang menyumbang kepada kebimbangan (anxiety) dan kemurungan (depression). Penggunaan gajet yang tidak dikawal bukan sahaja menjejaskan fungsi kognitif dan emosi, tetapi juga mengubah cara otak memproses rangsangan, seterusnya memberikan kesan jangka masa panjang kepada perkembangan mental dan kesejahteraan psikologi.

Bagi mengurangkan masalah ini, beberapa langkah pencegahan boleh dilaksanakan. Pendidikan digital di sekolah perlu diperkasakan dengan memasukkan modul literasi digital yang mendidik pelajar tentang penggunaan gajet secara beretika dan berhemah. Ibu bapa pula disarankan untuk memantau masa skrin anak melalui aplikasi kawalan masa dan menapis kandungan permainan yang sesuai dengan umur mereka. Di samping itu, pelajar digalakkan untuk terlibat dalam aktiviti fizikal dan sosial yang dapat mengimbangi penggunaan teknologi serta merangsang perkembangan emosi positif. Selain itu, sekolah juga disarankan untuk menyediakan kaunselor atau ahli psikologi bagi membantu pelajar yang menunjukkan tanda ketagihan gajet atau tingkah laku agresif.

Langkah pencegahan awal terhadap kes jenayah dan buli di sekolah amat penting dan perlu dilakukan secara bersepadu melibatkan pihak sekolah, ibu bapa, pelajar dan masyarakat. Pendidikan emosi dan sosial ( Social Emotional Learning ) dapat membantu pelajar mengenal emosi, mengawal diri, berempati dan menyelesaikan konflik dengan cara yang positif. Program seperti ini terbukti dapat mengurangkan risiko keganasan sekolah sehingga 60 peratus. Di samping itu, kempen kesedaran antibuli seperti “Sifar Buli di Sekolah” serta saluran pelaporan rahsia perlu diwujudkan agar pelajar berani melaporkan kejadian buli tanpa rasa takut. Pemantauan disiplin digital juga boleh dijalankan melalui sistem pelaporan dalam talian dan bimbingan mentor pelajar bagi mengesan tanda-tanda awal tingkah laku agresif.

Ibu bapa memainkan peranan penting dengan mengawal masa skrin anak-anak, mengamalkan komunikasi terbuka dan menggalakkan aktiviti keluarga yang sihat seperti bersukan atau menyertai program komuniti. Guru dan kaunselor pula perlu peka terhadap pelajar berisiko dengan menggunakan alat saringan psikometrik seperti DASS-21 atau SDQ. Alat psikometrik ini berfungsi sebagai instrumen penting untuk mengenal pasti masalah psikologi atau gangguan emosi secara objektif. Sesi bimbingan berkumpulan yang menekankan pengurusan emosi dan nilai belas kasihan harus dijalankan secara berkala. Pada masa yang sama, elemen nilai moral dan tanggungjawab sosial wajar diterapkan dalam setiap mata pelajaran bagi membentuk keperibadian pelajar yang seimbang.

Komuniti dan pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan melalui program seperti “Safe School Program” yang melibatkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Polis Diraja Malaysia dan badan bukan kerajaan tempatan dalam usaha untuk mencegah keganasan remaja. Rondaan polis komuniti serta ceramah kesedaran tentang buli siber dan pengaruh media boleh membantu menanam kesedaran sejak awal. Bagi pelaku buli, pendekatan pemulihan melalui bimbingan psikologi dan khidmat masyarakat adalah lebih berkesan berbanding dengan hukuman semata-mata. Aktiviti kerohanian seperti tazkirah, ceramah nilai murni dan program motivasi juga dapat membantu menguatkan emosi dan kawalan diri pelajar. Kesedaran spiritual terbukti menguatkan fungsi prefrontal cortex , iaitu bahagian otak yang berkait rapat dengan moral dan disiplin diri.

Kesimpulannya, penggunaan gajet dan permainan video merupakan antara faktor penyumbang yang signifikan terhadap perubahan fungsi kognitif dan tingkah laku remaja. Usaha pencegahan perlu bermula seawal peringkat sekolah rendah dengan memberikan tumpuan kepada latihan empati, kawalan diri serta pendidikan digital yang beretika. Melalui pendidikan, kesedaran ibu bapa dan kawalan teknologi yang bijak, masyarakat dapat melahirkan generasi muda yang sihat dari segi mental, emosi dan moral, iaitu generasi yang mampu menggunakan teknologi untuk kebaikan, bukan untuk kebinasaan.

The post Kes Jenayah di Sekolah: Kaitan antara Fungsi Kognitif Otak akibat Penggunaan Gajet dan Permainan Video appeared first on Dewan Kosmik .

The full article is being collected. Available text is shown for now.

Back
Share this story

Get the daily newsletter →

Ask globalread.info

AI news & website helper
What would you like to explore?

I can find stories, explain headlines, or help you use globalread.info.

AI can make mistakes. Check the linked sources. Questions are sent to OpenAI.