Back

Pencemaran Udara Mengancam Kualiti Sumber Air?

S etiap kali jerebu melanda Malaysia, fokus utama lazimnya terarah kepada ancaman kesihatan awam, khususnya risiko terhadap sistem pernafasan serta kemerosotan jarak pelihatan. Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) turut menjadi rujukan utama untuk menilai tahap pencemaran dan menentukan langkah berjaga-jaga yang perlu diambil oleh orang awam. Namun demikian, kesan jerebu tidak semestinya terhenti pada atmosfera. Satu persoalan kritikal yang jarang-jarang dikupas ialah sejauh manakah pencemaran udara ini menjejaskan kualiti sumber air permukaan seperti sungai dan tasik?

Mekanisme Pemendapan: Dari Udara ke Bumi

Secara prinsipnya, pencemaran udara dan air merupakan dua isu alam sekitar yang saling berkait rapat melalui pergerakan bahan pencemar merentasi atmosfera, daratan dan badan air. Semasa jerebu, zarah terampai yang sarat dengan pelbagai bahan pencemar tidak hanya terperangkap dalam atmosfera. Sebaliknya, zarah ini berpotensi kembali ke permukaan bumi melalui proses pemendapan kering atau basah.

Bahan pencemar yang mendap di permukaan tanah kemudiannya boleh dihanyutkan ke badan air melalui aliran permukaan apabila hujan berlaku. Risiko ini wajar diberikan perhatian, khususnya ketika cuaca kering dan berlakunya kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut atau pembakaran terbuka yang boleh meningkatkan pelepasan zarah dan bahan pencemar ke atmosfera.

Isu ini mempunyai kaitan yang jelas dengan keadaan jerebu di Malaysia sepanjang tahun ini. Pada 16 September 2026, sebanyak 41 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat. Beberapa kawasan di Selangor termasuklah Johan Setia, Shah Alam, Petaling Jaya, Klang, Banting dan Kuala Selangor turut terjejas. Menjelang 30 September 2026, sebanyak 29 kawasan di seluruh negara masih merekodkan bacaan IPU tidak sihat dengan Johan Setia dan Cheras antara kawasan yang mencatatkan bacaan tertinggi. Keadaan yang sama turut dilaporkan di Sarawak apabila Serian merekodkan bacaan IPU pada tahap berbahaya, iaitu melebihi 300.

Walaupun bacaan IPU digunakan untuk menggambarkan keadaan kualiti udara, komposisi jerebu itu sendiri lebih kompleks. Zarah terampai bersaiz halus, khususnya PM₂.₅ lazimnya sarat dengan bahan kimia yang merangkumi campuran karbon, sebatian organik, mineral, ion larut air dan unsur surih. Kajian yang dijalankan di Kuala Lumpur mendapati bahawa kepekatan PM₂.₅ meningkat dengan ketara semasa jerebu. Antara komponen yang dikenal pasti termasuklah sulfat (SO₄²⁻), nitrat (NO₃⁻) dan ammonium (NH₄⁺), selain beberapa unsur seperti kalium, aluminium, kalsium, magnesium dan ferum. Pembakaran biojisim dikenal pasti sebagai satu daripada penyumbang utama kepada komposisi aerosol semasa jerebu.

Kehadiran lambakan bahan kimia ini di atmosfera mencetuskan persoalan, iaitu ke manakah hilangnya zarah ini setelah lenyap daripada pandangan udara? Sebenarnya, sebahagian zarah ini akan mendap secara terus di permukaan tanah, tumbuh-tumbuhan dan badan air melalui pemendapan kering. Sebahagian yang lain pula akan dibawa bersama-sama hujan melalui pemendapan basah. Dalam keadaan tertentu, hujan ketika jerebu berpotensi menjadi satu daripada pengangkut yang memindahkan bahan pencemar atmosfera ke permukaan bumi.

Hubungan tersebut pernah diperhatikan melalui kajian komposisi kimia air hujan di Malaysia. Satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai keadaan pascajerebu di Asia Tenggara mendapati bahawa wujud perubahan pada komposisi kimia air hujan akibat pengangkutan bahan pencemar merentas sempadan. Antara bahan yang dikesan termasuklah nitrat, kalsium dan zink. Kajian tersebut menunjukkan bahawa atmosfera bukan sekadar medium yang membawa bahan pencemar dari satu lokasi ke lokasi lain, tetapi turut menjadi sebahagian daripada laluan yang akhirnya membawa bahan tersebut kembali ke permukaan bumi melalui proses pemendapan bersama-sama air hujan.

Kajian yang dijalankan di pantai timur Semenanjung Malaysia oleh penyelidik dari Universiti Malaya dan UKM menunjukkan bahawa zarah halus PM₂.₅ yang berada di udara turut mengandungi kalium, khususnya kalium bukan daripada sumber marin ( non-sea-salt potassium ) yang boleh digunakan sebagai penunjuk kepada pembakaran biojisim seperti tumbuh-tumbuhan dan sisa pertanian. Penemuan ini menunjukkan bahawa jerebu bukan sekadar terdiri daripada zarah yang mengganggu penglihatan, tetapi turut membawa pelbagai bahan kimia yang boleh berpindah dan akhirnya mendap ke permukaan bumi. Apabila hujan turun, sebahagian bahan tersebut berpotensi dibawa bersama-sama air hujan ke tanah dan seterusnya memasuki sungai atau badan air yang berhampiran.

Walau bagaimanapun, hubung kait antara jerebu dengan kualiti air tidak seharusnya dirumuskan secara mudah. Tidak semua episod jerebu secara automatik menjurus kepada kemerosotan kualiti sungai dan peningkatan sesuatu parameter air selepas hujan tidak semestinya berpunca daripada pencemaran udara. Keadaan sungai dipengaruhi oleh pelbagai faktor lain termasuklah guna tanah, aktiviti industri dan pertanian, pelepasan efluen, kumbahan domestik, hakisan tanah serta keadaan hidrologi. Oleh itu, jerebu lebih tepat diklasifikasikan sebagai satu daripada penyumbang tekanan alam sekitar yang berpotensi memburukkan kualiti air dan bukannya punca tunggal pencemaran.

Faktor setempat juga amat penting. Sungai yang mempunyai kadar aliran tinggi mungkin mempunyai keupayaan pencairan yang lebih besar berbanding dengan sungai yang mempunyai aliran rendah. Begitu juga kawasan bandar dan perindustrian mungkin menerima campuran pencemar yang berbeza daripada kawasan hutan atau tanah pertanian. Bahan yang mendap di permukaan tanah juga tidak semestinya terus memasuki sungai. Sebahagiannya boleh terperangkap di dalam tanah atau tumbuh-tumbuhan, manakala sebahagian yang lain boleh dihanyutkan ke sistem saliran apabila hujan berlaku. Oleh itu, kesan terhadap kualiti air bergantung pada interaksi antara keadaan atmosfera, jenis pencemar, intensiti hujan, ciri lembangan sungai dan aktiviti guna tanah.

Perkara ini semakin mendapat perhatian dalam kajian berkaitan dengan pencemaran akuatik. Kajian ulasan oleh penyelidik dari Shandong Jianzhu University, China yang diterbitkan pada tahun ini menegaskan bahawa pemendapan atmosfera merupakan satu daripada laluan penting bagi pemindahan pencemar dari atmosfera ke ekosistem akuatik. Sebatian nitrogen dan sulfur, unsur surih serta bahan pencemar organik tertentu boleh memasuki badan air melalui pemendapan basah dan kering. Penyelidikan terdahulu juga menunjukkan bahawa pemendapan atmosfera boleh menyumbang kepada peningkatan nilai sulfat, ammonium serta pelbagai unsur surih seperti besi, mangan, aluminium, kuprum, zink, kadmium, arsenik dan merkuri kepada sistem air.

Senario Kualiti Air di Malaysia

Dalam konteks tempatan, interaksi antara pencemaran udara dengan pencemaran air wajar diberikan perhatian serius memandangkan sumber air permukaan merupakan antara sumber penting bagi bekalan air domestik serta memainkan peranan utama untuk mengekalkan kelestarian ekosistem. Hal ini agak membimbangkan kerana berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (2026), walaupun 99 daripada 144 lembangan sungai yang dipantau berada pada status bersih, realitinya 45 sungai lain kini berada di ambang ancaman dengan 41 sungai sedikit tercemar, manakala empat lagi sungai tersenarai sebagai tercemar. Penanda aras kesihatan sungai ini dinilai secara teliti melalui parameter kritikal seperti permintaan oksigen biokimia (BOD₅), lambakan pepejal terampai (TSS) dan kepekatan nitrogen ammonia (NH₃-N).

Pada masa yang sama, beberapa kejadian pencemaran air yang dilaporkan pada tahun ini menunjukkan bahawa sumber pencemaran daratan masih merupakan faktor yang perlu diberikan perhatian. Kejadian pada September 2026, sebuah kilang kelapa sawit di Kluang diarahkan untuk menghentikan operasi akibat kebocoran efluen berminyak ke Sungai Sembrong telah membuktikan bahawa ancaman pencemaran daratan masih bersifat fizikal dan langsung. Oleh itu, sebarang perubahan kualiti air yang berlaku pada pascajerebu perlu ditafsirkan dengan berhati-hati dan perlu dibandingkan dengan sumber pencemar lain di kawasan tadahan.

Namun demikian, hal ini tidak bermakna hubungan antara jerebu dengan kualiti air boleh diketepikan. Sebaliknya, keadaan ini menunjukkan keperluan untuk melihat pemantauan alam sekitar secara lebih bersepadu. Ketika jerebu berlaku, pemantauan biasanya tertumpu kepada PM₁₀, PM₂.₅ dan parameter meteorologi. Pendekatan tersebut penting, tetapi pemantauan tambahan terhadap air hujan dan badan air selepas jerebu boleh memberikan gambaran yang lebih menyeluruh tentang lokasi akhir bahan pencemar di atmosfera.

Untuk langkah pemantauan yang berkesan, tumpuan harus diberikan kepada parameter kualiti air seperti tahap pH, konduktiviti, pepejal terampai, sebatian nitrogen (termasuklah nitrogen ammonia dan nitrat), sulfat serta unsur surih terpilih. Walau bagaimanapun, pendekatan ini tidak boleh dipukul rata. Pemilihan parameter mestilah disesuaikan dengan profil kawasan dan punca asal jerebu. Sebagai contohnya, perairan yang terjejas akibat pembakaran biojisim menuntut fokus analisis yang berbeza berbanding dengan sungai di zon perindustrian. Selain itu, penganalisisan data merentas tiga fasa, iaitu sebelum, semasa dan pascajerebu adalah sangat kritikal. Langkah ini berfungsi sebagai serampang dua mata untuk mengasingkan impak sebenar pemendapan atmosfera daripada sekadar variasi alam semula jadi.

Oleh hal yang demikian, naratif “daripada jerebu kepada air” membuka dimensi baharu yang lebih holistik dalam pengurusan alam sekitar. Kesan jerebu tidak wajar diukur semata-mata pada indeks kualiti udara hariannya. Sebaliknya, perhatian yang lebih serius perlu diberikan kepada trajektori bahan pencemar tersebut selepas bahan ini mendap dari atmosfera ke permukaan bumi, termasuklah pergerakannya ke dalam tanah, sungai dan badan air yang berhampiran. Di Malaysia, anjakan paradigma ini amat mendesak memandangkan episod jerebu merupakan ancaman bermusim yang sering berulang, khususnya akibat cuaca kering yang memicu rentetan kebakaran hutan dan tanah gambut.

Keperluan Pemantauan Bersepadu

Pencemaran udara semasa jerebu sememangnya berpotensi memberikan kesan kepada kualiti sumber air melalui proses pemendapan atmosfera dan larian permukaan. Namun demikian, hubungan tersebut perlu dibuktikan melalui data dan tidak wajar dianggap sebagai punca tunggal pencemaran sungai. Pemantauan yang menggabungkan data kualiti udara, komposisi air hujan dan kualiti air permukaan boleh membantu menjelaskan hubungan antara ketiga-tiga komponen tersebut dengan lebih baik. Untuk jangka masa panjang, pendekatan pemantauan yang lebih bersepadu bukan sahaja dapat meningkatkan pemahaman tentang kesan jerebu terhadap alam sekitar, malah dapat menyokong pengurusan sumber air yang lebih berasaskan bukti.

Jika jerebu merujuk kekaburan yang kita saksikan di dada langit, wajarlah kita mula menyoal, apakah sisa toksik yang akhirnya gugur ke bumi dan meresap ke dalam nadi air?Dengan merungkai persoalan ini kita mungkin menemukan bukti nyata bahawa pencemaran udara sebenarnya merupakan ancaman senyap yang mencengkam ekosistem dan kelestarian sumber air negara.

Rajah 1 Kitaran pencemaran.

Yasmin Omar dan Dr. Marryanna Lion ,

Cawangan Ekohidrologi,

Program Alam Sekitar dan Perubahan Iklim,

Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar,

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.

The post Pencemaran Udara Mengancam Kualiti Sumber Air? appeared first on Dewan Kosmik .

The full article is being collected. Available text is shown for now.

Back
Share this story

Get the daily newsletter →

Ask globalread.info

AI news & website helper
What would you like to explore?

I can find stories, explain headlines, or help you use globalread.info.

AI can make mistakes. Check the linked sources. Questions are sent to OpenAI.