SIC2026 Memperkasakan Inovasi dan Kreativiti Merentas Institusi Dalam dan Luar Negara
Arau – Sebanyak 186 projek inovasi daripada 77 institusi dari dalam dan luar negara, termasuklah Indonesia dan Thailand telah diketengahkan menerusi The 16th Symposium on Innovation and Creativity (SIC2026) yang dianjurkan oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis menerusi Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri.
Majlis Perasmian Penutupan SIC2026 telah berlangsung di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis bagi meraikan usaha peserta menghasilkan idea kreatif dan inovasi yang berpotensi diaplikasikan dalam pelbagai bidang.
Penyertaan institusi dari dalam dan luar negara turut memperlihatkan ruang perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam pembangunan inovasi.
Menurut Penolong Pendaftar Kanan UiTM Cawangan Perlis, Encik Mohd Khairul Ab Razak, jumlah projek yang diterima mencerminkan semangat dan kreativiti dalam kalangan komuniti pendidikan tinggi.
Encik Mohd Khairul Ab Razak ketika berucap di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis. “Pada tahun ini, SIC2026 menerima 186 projek inovasi yang melibatkan 77 institusi dari Malaysia dan luar negara, termasuklah Indonesia dan Thailand, sekali gus menggalakkan serta membuktikan bahawa komuniti pendidikan tinggi mempunyai semangat dan kreativiti yang tinggi dalam menghasilkan idea inovasi.”
Beliau turut menjelaskan bahawa nilai sesebuah simposium bukan hanya diukur berdasarkan jumlah projek yang dipertandingkan, tetapi juga melalui idea, usaha dan komitmen yang dicurahkan oleh setiap peserta.
Gabungan penghantaran penyertaan secara dalam talian dengan sesi pembentangan bersemuka memberikan peluang kepada para peserta untuk mengetengahkan idea melalui pelbagai pendekatan.
Sementara itu, Pengarah Program SIC2026, YBrs. Ts. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir berkata, inovasi bukan sekadar menghasilkan sesuatu yang baharu, malah memerlukan pemikiran kritis, kerjasama dan keberanian untuk meneroka pendekatan yang berbeza.
YBrs. Ts. Dr. Nor Atikah Husna Ahmad Nasir. “Inovasi yang bermakna bermula dengan keupayaan kita mengemukakan persoalan, berfikir secara kritis dan mencari penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan,” kata beliau.
Dalam bidang sains dan teknologi seumpamanya, idea yang kreatif perlu disertai dengan ciri kebaharuan, manfaat yang jelas serta potensi aplikasi supaya dapat memberikan nilai tambah kepada pengguna dan masyarakat.
SIC2026 menggalakkan peserta bukan sahaja menghasilkan idea yang berbeza daripada pendekatan sedia ada, tetapi juga mengenal pasti kelebihan dan kegunaan inovasi yang dibangunkan.
Beliau turut berharap agar pengalaman menyertai simposium ini dapat memperluas perspektif peserta, membina jaringan kerjasama dan meningkatkan keyakinan mereka untuk terus memperbaik hasil inovasi.
Bagi memastikan penilaian projek dilaksanakan secara teratur, SIC2026 telah melibatkan sebanyak 179 orang juri profesional yang menjalankan penjurian secara dalam talian.
SIC2026 telah melantik Ketua Juri Pertama, iaitu YBrs. Ts. Dr. Sabiroh Md Sabri dari Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Perlis, manakala Ketua Juri Kedua pula ialah Ts. Ahmad Zuhairi Abd Rahman, Pegawai Penyelidik di Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia, Institut Kesihatan Negara Malaysia.
YBrs. Ts. Dr. Sabiroh Md Sabri dan Ts. Ahmad Zuhairi Abd Rahman semasa menyampaikan ulasan penjurian SIC2026. Pertandingan ini menawarkan tiga kategori, iaitu Kategori A untuk peserta Rangkaian Universiti Global UiTM (UGUN) yang membentangkan inovasi secara bersemuka.
Kategori B pula bagi inovasi peringkat pemula dan Kategori C bagi inovasi peringkat lanjutan, yakni para peserta bagi kategori ini dikehendaki menghantar video pembentangan untuk dinilai secara dalam talian.
SIC2026 turut menerima penyertaan peserta dari luar negara. Pihak penganjur juga menetapkan tempoh pembentangan tidak melebihi tiga minit bagi menggalakkan peserta menyampaikan idea secara ringkas, jelas dan berkesan bagi mengetengahkan ciri utama, kebaharuan, manfaat dan potensi aplikasi inovasi masing-masing.
Penekanan terhadap aspek ini memberikan ruang kepada para peserta untuk menunjukkan bukan sahaja kreativiti dalam menghasilkan idea, tetapi juga kebolehan mengenal pasti kegunaan inovasi dan potensi sumbangannya kepada penyelesaian masalah sebenar.
Majlis Perasmian Penutupan turut diserikan dengan acara pemotongan kek The Symposium on Innovation and Creativity sebagai simbolik dan tradisi yang unik, berbeza dengan pertandingan inovasi yang lain.
Acara pemotongan kek sebagai simbolik dan tradisi unik The Symposium on Innovation and Creativity. Penganjuran SIC2026 diharapkan dapat terus menyemarakkan budaya inovasi dalam komuniti pendidikan tinggi melalui perkongsian idea, penilaian profesional dan pembinaan jaringan kerjasama.
Usaha ini penting bagi menggalakkan pembangunan inovasi sains dan teknologi mahupun sains sosial yang bukan sahaja mempunyai nilai kebaharuan, malah berupaya memberikan manfaat dan memenuhi keperluan masyarakat.
Turut hadir ialah Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail, Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, YBrs. Dr. Nur Syafiqah Rahim dan para peserta pertandingan.
The post SIC2026 Memperkasakan Inovasi dan Kreativiti Merentas Institusi Dalam dan Luar Negara appeared first on Dewan Kosmik .
The full article is being collected. Available text is shown for now.