Shuib Akhirnya Bersuara, Berkali-Kali Mohon Maaf Kepada Jep Sepahtu
Intipati berita
Shuib akhirnya bersuara selepas hampir seminggu berdiam diri berhubung kemelut dengan Jep Sepahtu.
Dakwa sudah mohon maaf kepada Jep menerusi WhatsApp pada pukul 1.51 pagi, kurang 24 jam selepas kenyataan Jep pada 8 Oktober lalu.
Akui kesilapan dan terkesan dengan kecaman yang turut memberi kesan kepada isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaannya.
Mohon maaf secara terbuka kepada Jep sambil mengenang persahabatan hampir 20 tahun dan mendoakan kesejahteraan Jep, Sari Yanti serta keluarga mereka.
Pelawak Shuib akhirnya tampil bersuara selepas hampir seminggu berdiam diri berhubung kemelut yang berlaku antara dirinya dengan rakan seperjuangan, Jep Sepahtu.
Menerusi video yang dimuat naik di media sosial, Shuib mengakui tempoh sejak kenyataan Jep pada 8 Oktober lalu merupakan antara fasa paling sukar buat dirinya apabila berdepan pelbagai kecaman dan kritikan.
Menurut Shuib, isu berkenaan bukan sahaja memberi kesan kepadanya, malah turut melibatkan isteri, anak-anak, keluarga serta perniagaan yang diusahakannya.
Saya diperli, saya dimaki, saya dihina, dikecam dan ianya bukan sahaja berlaku kepada saya tetapi melibatkan juga isteri dan anak-anak, keluarga dan juga perniagaan saya.
Shuib dah hubungi Jep dan mohon maaf?
Dalam penjelasannya, Shuib memaklumkan dia sudah menghubungi Jep menerusi WhatsApp pada pukul 1.51 pagi, Jumaat, iaitu kurang daripada 24 jam selepas kenyataan rakannya itu dikeluarkan.
Mesej tersebut dihantar bagi memohon maaf atas kekhilafan dirinya dan Mamat yang menyindir Jep dalam episod Dol’s Podcast bersama Azlee Senario.
Saya nak maklumkan, tak sampai 24 jam iaitu pada 1:51 minit pagi Jumaat, saya telah pun WhatsApp Jep dengan penuh rendah diri memohon maaf di atas kekhilafan saya dan Mamat menyindir dia di Dols Podcast episod bersama dengan Azlee senario.
Saya kira dia telah pun menerima Whatsapp tersebut dan mungkin telah membacanya. Wallahualam.
Shuib turut mengakui kesilapannya dan menganggap apa yang berlaku sebagai satu ujian serta pengajaran buat dirinya agar lebih berhati-hati ketika berkata-kata.
Kenang persahabatan yang dah hampir 20 tahun
Lebih menyentuh hati, Shuib turut menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada Jep sambil mengenang persahabatan mereka yang sudah terjalin hampir dua dekad.
BACA: Dah Baca Luahan Panas Jep, Shuib Pilih Tak Mahu Panjangkan Isu
Menerusi video tersebut, Shuib berulang kali meminta maaf dan mendoakan agar segala urusan Jep, isteri serta anak-anaknya dipermudahkan.
Video ini khas untuk Jep, Jep… Kalau kau tengok video ni, Dok… Aku mohon maaf. Aku mohon maaf, Dok. Aku mohon maaf.
Kita kenal dekat 20 tahun, hampir separuh daripada hidup aku. Aku takkan boleh menidakkan kenangan yang telah pun kita bina selama ni, Dok.
Shuib turut mengenang segala pengalaman susah dan senang yang pernah dilalui bersama Jep sepanjang mereka bekerjasama.
Aku minta maaf, aku minta maaf, aku minta maaf di atas kekhilafan aku dan juga keegoan aku. Aku halalkan segala-galanya. Aku doakan kau, Dok.
Dia juga mendoakan kesejahteraan Jep, isterinya, Sari Yanti, serta anak-anak dan seluruh keluarganya.
Semoga Allah akan uruskan segala permasalahan kita dengan baik. Aku minta maaf, aku minta maaf, aku minta maaf.
The post Shuib Akhirnya Bersuara, Berkali-Kali Mohon Maaf Kepada Jep Sepahtu appeared first on Oh! Media .
The full article is being collected. Available text is shown for now.