199 kes jenayah babitkan pelarian Rohingya, Selangor rekod paling tinggi
Selangor mencatatkan jumlah kes jenayah membabitkan pelarian Rohingya tertinggi dengan 58 kes daripada keseluruhan 199 kes yang direkodkan di negara ini antara 2022 hingga Ogos 2026.
Foto: Harian Metro
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan Kedah berada di kedudukan berikutnya dengan 26 kes, manakala Kuala Lumpur mencatatkan 22 kes.
Dari segi pecahan tahunan, jumlah tertinggi direkodkan pada 2022, iaitu sebanyak 52 kes.
“Tahun 2022 mencatatkan jumlah kes paling banyak dengan 52 kes, diikuti 2023 (43), 2024 (37), 2025 (29) dan sehingga Ogos 2026 sebanyak 38 kes direkodkan,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai statistik kesalahan jenayah melibatkan pelarian Rohingya mengikut negeri serta tindakan kerajaan bagi memperkukuh pendaftaran, kawalan dan pemantauan komuniti berkenaan.
Dalam jawapan sama, Saifuddin menjelaskan bahawa pengurusan pelarian dilaksanakan secara menyeluruh melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka.
Menurutnya, arahan itu meliputi semua golongan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia, bukan terhad kepada etnik Rohingya.
Kerangka berkenaan turut memperincikan tanggungjawab kementerian serta agensi penguatkuasaan supaya urusan pengurusan pelarian dilaksanakan dengan mengambil kira keselamatan negara.
“Di bawah kerangka Arahan MKN Nombor 23 ini, kerajaan memperkukuh kawalan serta pemantauan terhadap seluruh komuniti pelarian termasuk etnik Rohingya menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP),” jelasnya.
Foto: Kosmo
Saifuddin berkata, program DPP menjadi instrumen utama kerajaan untuk mengambil alih dan memperkukuh pengurusan data pelarian secara berpusat tanpa bergantung sepenuhnya kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Menerusi pelaksanaan itu, migran yang sudah disahkan statusnya akan menerima pas khas berbentuk kad yang berfungsi sebagai dokumen identiti rasmi.
“Migran yang ditentusahkan statusnya diberikan satu pas khas berbentuk kad dikenali sebagai Kad Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Kad ini adalah dokumen identiti rasmi kepada golongan ini dan dokumen tunggal yang diiktiraf oleh kerajaan bagi membenarkan pemegangnya untuk tinggal sementara di Semenanjung Malaysia sehingga pengurusan akhir dilaksanakan ke atas pemegang kad,” tambahnya lagi.
Sumber: Berita Harian (Farah Marshita Abdul Patah)
The full article is being collected. Available text is shown for now.