Lembaga Adat Luak Jelebu dakwa pelantikan Undang ke-17 tidak sah

Lembaga Adat Luak Jelebu mempertikaikan kesahihan proses pemilihan dan pelantikan Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada Rabu.
Menerusi satu kenyataan, pihak berkenaan menegaskan bahawa istiadat penzahiran itu tidak diiktiraf kerana didakwa tidak mengikut lunas serta aturan adat purba Luak Jelebu.
Menurut kenyataan itu, proses pemilihan dan pelantikan berkenaan didakwa dilaksanakan tanpa penglibatan, rujukan atau persetujuan majoriti penyandang gelaran Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu yang sah mengikut nasab dan tertib adat.
“Lembaga Adat Luak Jelebu ingin menegaskan secara rasmi bahawa segala proses pemilihan, pelantikan serta istiadat penzahiran yang melibatkan Azrin Khairi sebagai Undang Luak Jelebu ke-17 adalah tidak sah dan tidak diiktiraf,” menurut kenyataan itu.
Lembaga Adat Luak Jelebu turut mendakwa istiadat berkenaan membelakangkan institusi adat di peringkat luak sekali gus tidak mematuhi ketetapan Adat Perpatih serta garis panduan pertabalan Undang Luak Jelebu.
Susulan itu, beberapa Dato’ Lembaga Adat Luak Jelebu dilaporkan telah membuat laporan polis pada 12 Oktober lalu bagi membantah penganjuran istiadat tersebut.
Dalam masa sama, pihak berkenaan turut mempertikaikan keputusan terdahulu Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang didakwa mengetepikan institusi Undang Luak Jelebu sedia ada secara sepihak.
Menurutnya, perkara itu masih tertakluk kepada pertikaian undang-undang dan adat yang belum diselesaikan sepenuhnya.
Sehubungan itu, Lembaga Adat Luak Jelebu menyeru masyarakat, khususnya anak buah luak, supaya tidak terkeliru dengan istiadat penzahiran berkenaan.
Pihaknya turut menegaskan komitmen untuk mempertahankan kedaulatan adat serta memelihara keharmonian institusi beraja dan institusi luak daripada sebarang campur tangan yang didakwa bertentangan dengan tradisi turun-temurun.
The post Lembaga Adat Luak Jelebu dakwa pelantikan Undang ke-17 tidak sah appeared first on The Reporter .
The full article is being collected. Available text is shown for now.