Back

Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS

Story illustration

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS yang semakin menyusut pada Khamis berikutan pelabur menilai keadaan pasaran menjelang pengumuman anggaran awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2026 esok.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0800/0835 berbanding dolar AS daripada 4.0805/0850 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata KDNK Malaysia bagi suku ketiga 2026 diunjurkan berkembang sekitar 5.2 peratus.

"Walaupun sederhana berbanding pertumbuhan enam peratus pada suku sebelumnya, ekonomi dijangka kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan domestik dan aktiviti pelaburan yang berterusan.

"Lebih penting lagi, pertumbuhan ekonomi yang terus mengatasi kadar pertumbuhan trend mengukuhkan alasan untuk normalisasi selanjutnya Kadar Dasar Semalaman (OPR) menuju 3.00 peratus, terutama memandangkan penetapan dasar monetari perlu kekal seiring dengan kekuatan asas ekonomi dan tekanan inflasi yang terus berkembang," katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata, Indeks Dolar AS (DXY) menyusut di luar jangkaan walaupun inflasi Amerika Syarikat (AS) lebih tinggi berbanding jangkaan, dengan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September meningkat kepada 3.7 peratus daripada 3.4 peratus pada Ogos, melebihi konsensus pasaran sebanyak 3.6 peratus.

Beliau berkata, bagi pasaran pendapatan tetap, hasil Perbendaharaan AS bagi tempoh 10 tahun turun 10 mata asas kepada 5.09 peratus, sekali gus mencerminkan permintaan yang meningkat terhadap aset selamat susulan penjualan besar-besaran saham teknologi terutama syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI).

"Kebimbangan terhadap penilaian saham yang terlalu tinggi dan peningkatan kos pembiayaan dalam sektor AI dilihat mendorong pelabur untuk menilai semula prospek pertumbuhan AS.

"Sementara itu, kenyataan berhati-hati pegawai Rizab Persekutuan AS telah meredakan jangkaan mengenai kenaikan kadar faedah dalam masa terdekat walaupun bacaan inflasi meningkat, sekali gus menyumbang kepada kelemahan dolar AS," kata Mohd Afzanizam.

Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit susut berbanding yen kepada 2.5869/5892 daripada 2.5751/5781 semasa ditutup pada Rabu, merosot berbanding euro kepada 4.5761/5801 daripada 4.5673/5723, namun meningkat berbanding pound kepada 5.4101/4147 daripada 5.4132/4192.

Berbanding mata wang negara ASEAN, ringgit mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/227.7 daripada 227.9/228.2 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.47/6.48 daripada 6.50/6.51.

Unit tempatan turut meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1818/1848 daripada 3.1829/1267 semasa ditutup semalam, namun menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1758/1914 daripada 12.1498/1672. - BERNAMA

© New Straits Times Press (M) Bhd

The full article is being collected. Available text is shown for now.

Back
Share this story

Get the daily newsletter →

Ask globalread.info

AI news & website helper
What would you like to explore?

I can find stories, explain headlines, or help you use globalread.info.

AI can make mistakes. Check the linked sources. Questions are sent to OpenAI.