← globalread.info

Berita Harian — MY · 10/12/2026 · 0 views

Share this story

Lim You menangis, Hannah Yeoh tampil pujuk

Story illustration

SELAYANG: Kekecewaan gagal membawa Malaysia ke pentas Piala Asia Wanita B-17 2027 jelas dirasai bintang muda negara, Lim You, apabila pemain berusia 14 tahun itu menitiskan air mata selepas skuad remaja wanita negara tewas kepada India di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Lim You yang beraksi sepanjang 90 minit dilihat tidak dapat menyembunyikan kesedihan sebaik wisel penamat dibunyikan selepas Malaysia gagal menyaingi keampuhan lawan dalam perlawanan penentuan juara Kumpulan E itu.

Situasi berkenaan menarik perhatian bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang hadir ke Stadium Majlis Perbandaran Selayang bagi memberikan sokongan kepada pemain negara sebelum mendekati Lim You untuk memujuk serta memberikan semangat kepada pemain muda itu.

Walaupun keputusan perlawanan tidak memihak kepada Malaysia, persembahan Lim You sepanjang kempen kelayakan tetap membanggakan apabila dia mencipta impak dalam dua aksi terdahulu, sekali gus memperlihatkan potensi besar untuk terus berkembang dalam bola sepak wanita negara.

Hannah yang kini Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan hadir memberi sokongan kepada barisan pemain negara hingga tamat perlawanan.

Lim You yang mengambil cuti dari Amerika Syarikat untuk menyertai skuad kebangsaan memulakan kempen sebagai pemain gantian ketika menentang Syria, namun berjaya membantu rakan sepasukan menghasilkan jaringan kemenangan selepas dimasukkan pada kira-kira 30 minit terakhir perlawanan.

Dalam aksi kedua menentang Iraq, pemain berusia 14 tahun itu meneruskan persembahan cemerlang ketika Malaysia meraih kemenangan 4-0, malah dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan berikutan sumbangannya kepada pasukan.

Bagaimanapun, cabaran menentang India ternyata berbeza apabila skuad kendalian Takayoshi Ishihara bergelut untuk mengimbangi permainan lawan yang lebih dominan, dengan Lim You yang bermula sebagai penyerang sayap kanan kemudian beralih ke sebelah kiri pada babak kedua.

India membuka tirai jaringan menerusi Redima Devi Chingkhamayum pada minit ke-29 sebelum Pritika Barman menggandakan kelebihan pada minit ke-51 dan Anushka Kumari menambah gol ketiga tiga minit kemudian, manakala Nidhi Kumar melengkapkan kemenangan 4-0 pada penghujung perlawanan.

Penjaga gol negara, Putri Aina Husna Mohd Subri, turut beraksi cemerlang menerusi beberapa aksi menyelamat namun tekanan berterusan India menyukarkan Malaysia untuk bangkit, manakala Isabella Saffiya O Luanaigh yang masuk sebagai pemain gantian turut cuba mencipta ancaman.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia menamatkan saingan Kumpulan E di tempat kedua dengan enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan, sekali gus terlepas peluang ke pusingan akhir yang dijadual berlangsung di China dari 31 Mac hingga 17 April 2027, selepas hanya juara kumpulan layak ke kejohanan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Article image
Article image
Source: Berita Harian — MY ↗
Share this story

Ask globalread.info

AI news & website helper
What would you like to explore?

I can find stories, explain headlines, or help you use globalread.info.

AI can make mistakes. Check the linked sources. Questions are sent to OpenAI.