Man City kena sindir 'penipu' di Anfield

Liverpool: Manchester City tiba di Anfield, hari ini berdepan dengan tempias keputusan berkaitan pelanggaran peraturan kewangan. Pendahulu liga itu bertandang ke Merseyside bagi perlawanan pertama sejak suruhanjaya bebas mendapati mereka bersalah atas 114 pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana Inggeris (EPL), dengan penyokong Liverpool sudah menyediakan sambutan penuh sindiran. Penyokong tuan rumah menenggelamkan pengumuman barisan pemain City dengan sorakan boo yang kuat serta laungan, "Going down, going down, going down!", merujuk kepada kemungkinan dikenakan hukuman penyingkiran. Satu kain rentang tertera tulisan: 'Satu generasi penyokong ditipu', manakala sebahagian penyokong memegang tiga belon yang memaparkan angka 114. Dalam pada itu, penyokong City yang bertandang mengangkat pisang kembung, satu tradisi berunsur jenaka yang bermula ketika kelab itu tersingkir daripada liga utama pada 1980-an. Kelab berkenaan bagaimanapun menafikan semua pertuduhan. Di luar stadium Liverpool, gerai cenderamata turut rancak menjual bendera dan kemeja-T tertera perkataan 'penipu'. Satu bendera memaparkan bekas pengurus City, Pep Guardiola bersama beberapa pemain termasuk Erling Haaland yang digambarkan memakai pakaian seragam penjara berjalur hitam dan merah, dengan perkataan 'penipu' serta nombor tahanan 114 tertera di belakang mereka. Ia adalah sindiran sinis berbaur humor dalam konteks bola sepak, selain menjadi petanda bahawa kesan keputusan berkenaan pantas merebak daripada bilik pendengaran ke gelanggang perseteruan Liga Perdana Inggeris (EPL). Polis Merseyside berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan kebimbangan bas pasukan City mungkin menjadi sasaran selepas satu hantaran di media sosial mempromosikan acara 'Bus greeting'. Namun, ketika penyokong Liverpool yang memenuhi Anfield Road mengangkat suar dan melaungkan nyanyian anti-City, bas pasukan pelawat menggunakan laluan alternatif ke stadium dan tiba tanpa disambut ramai penyokong. Pada 2018, bas pasukan City pernah dibaling botol, tin dan suar sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Liverpool di Anfield. Bas itu mengalami kerosakan teruk sehingga kenderaan gantian diperlukan untuk perjalanan pulang ke Manchester. © New Straits Times Press (M) Bhd
