Hamilton mohon maaf, akui silap strategi

Singapura: Juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton mengakui tersilap membuat keputusan mengenai strategi tayar yang menyebabkan dia dan Ferrari terlepas peluang meraih podium kedua pada Grand Prix (GP) Singapura. Hamilton dan rakan sepasukannya, Charles Leclerc, kedua-duanya dipanggil masuk ke pit pada pusingan ke-39 oleh Ferrari ketika tempoh kereta keselamatan maya (VSC) susulan kereta Lance Stroll mengalami kerosakan. Leclerc mengambil kesempatan daripada hentian pit kedua yang lebih singkat ketika VSC untuk menukar tayar medium kepada set tayar soft baharu dan akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Namun, Hamilton memilih untuk kekal di litar di tempat kedua dengan tayar soft yang sudah jauh lebih lama, keputusan yang memakan diri apabila dia terpaksa menggunakan tayar berkenaan untuk 44 pusingan sehingga tamat perlumbaan. Hamilton kemudian dipintas Leclerc, diikuti Kimi Antonelli, Lando Norris dan Oscar Piastri sebelum menamatkan perlumbaan di tempat keenam, hampir 46 saat di belakang Leclerc ketika bendera penamat dikibarkan. "Maaf, semua," kata Hamilton menerusi radio pasukan. "Saya mengecewakan anda hari ini dengan strategi itu. Itu keputusan saya dan saya menyebabkan kita kehilangan mata berharga. Saya akan cuba menebusnya pada perlumbaan seterusnya. Hentian pit itu dilakukan dengan baik," katanya. Jurutera Hamilton, Carlo Santi menjawab: "Difahami, terima kasih Lewis." Namun, prinsipal pasukan Ferrari, Fred Vasseur tidak begitu berlembut. "Kami memanggilnya, kami memanggil kedua-dua mereka untuk masuk ke pit," katanya kepada Sky Sports. "Dia terlepas pintu masuk pit dan sejujurnya agak mengecewakan kerana dia juga kehilangan peluang untuk menaiki podium. "Ia sangat jelas menerusi radio. "Tetapi sekarang kami perlu fokus kepada Austin. Prestasi kami hujung minggu ini agak baik. Kami perlu memberi tumpuan kepada masa depan," katanya. Kesilapan Hamilton itu menyaksikan kelebihannya ke atas Max Verstappen yang berada di tempat keempat dalam kedudukan kejuaraan pemandu dipotong kepada hanya lapan mata, selepas pelumba Belanda itu meraih kemenangan sulungnya di GP Singapura. © New Straits Times Press (M) Bhd
