Janda Atau Ibu Tunggal, Martabat Wanita Tidak Ditentukan Oleh Status Perkahwinan
Janda atau ibu tunggal, martabat wanita tidak ditentukan oleh status perkahwinan.
Nilai seorang wanita jauh melangkaui gelaran janda atau ibu tunggal. Status perkahwinan tidak menentukan kebijaksanaan, kemampuan mahupun martabat dirinya.
Sama ada membina kehidupan baharu, membesarkan anak atau mengejar cita-cita, setiap wanita mempunyai potensi tersendiri yang wajar dihargai.
Hakikatnya, wanita bukan sekadar dinilai melalui siapa yang berada di sisinya tetapi siapa dirinya dan sumbangan yang mampu diberikan kepada masyarakat.
Namun dalam kehidupan bermasyarakat, gelaran janda dan duda kadangkala mengundang persepsi berbeza.
Lelaki yang kembali hidup sendiri mungkin dilihat mempunyai peluang untuk memulakan kehidupan baharu sedangkan wanita dalam keadaan sama ada kalanya berdepan persoalan tentang penampilan, pergaulan dan pilihan peribadi.
Perbezaan tanggapan ini wajar direnungkan demi membina masyarakat yang lebih adil terhadap wanita.
Nilai seorang wanita jauh melangkaui gelaran janda atau ibu tunggal. Status perkahwinan tidak menentukan kebijaksanaan, kemampuan mahupun martabat dirinya. Martabat Wanita Tidak Berubah Kerana Status
Kajian bertajuk Self-Stigma and Mental Health in Divorced Single-Parent Women: Mediating Effect of Self-Esteem , diterbitkan dalam jurnal Behavioral Sciences pada 2023 , meneliti 347 wanita bercerai yang membesarkan anak di Korea Selatan.
Penyelidikan tersebut menemukan hubungan antara stigma kendiri, harga diri dan kesihatan mental. Penemuan ini memperlihatkan betapa pentingnya keyakinan diri dan persekitaran sosial yang positif dalam menyokong kesejahteraan wanita.
Seorang wanita tidak kehilangan ilmu, pengalaman atau kebolehan hanya kerana perkahwinannya berakhir. Malah perubahan dalam kehidupan boleh membuka ruang untuk mengenali potensi, membina matlamat baharu dan meneroka peluang yang sebelum ini belum pernah dicuba.
Ibu Tunggal Juga Berhak Mengejar Impian
Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia yang diterbitkan dalam jurnal e-Bangi pada 2025 melibatkan 19 ibu tunggal berpendapatan rendah di Pulau Pinang dan Perak.
Penyelidik mengenal pasti pelbagai strategi menghadapi tekanan kewangan termasuk pengurusan perbelanjaan, pekerjaan tambahan serta sokongan keluarga dan komuniti.
Penemuan ini memperlihatkan keupayaan ibu tunggal merancang kehidupan, membuat keputusan dan berusaha meningkatkan kesejahteraan keluarga. Namun, kekuatan mereka tidak seharusnya diukur melalui pengorbanan semata-mata.
Ibu tunggal juga berhak membina kerjaya, melanjutkan pelajaran, menikmati masa untuk diri sendiri dan mengejar impian tanpa rasa bersalah. Kehidupan mereka bukan sekadar berkisar tentang tanggungjawab tetapi turut merangkumi aspirasi dan kebahagiaan peribadi.
Ibu tunggal juga berhak membina kerjaya, melanjutkan pelajaran, menikmati masa untuk diri sendiri dan mengejar impian tanpa rasa bersalah. Wanita Berhak Dihormati, Bukan Dihakimi
Pemerkasaan wanita bukan bermaksud membuktikan bahawa kehidupan tanpa pasangan lebih baik. Sebaliknya, ia memberikan ruang kepada wanita untuk menentukan masa depan, sama ada memilih berkahwin semula atau meneruskan kehidupan sendiri.
Masyarakat yang menghargai wanita seharusnya melihat keperibadian, kebolehan dan sumbangan mereka bukannya menjadikan status perkahwinan sebagai ukuran kejayaan.
Seorang wanita tidak perlu menjadi isteri untuk dianggap sempurna, tidak perlu menjadi ibu untuk diiktiraf nilainya dan tidak perlu membuktikan kejayaan luar biasa untuk dihormati. Martabatnya tetap utuh, tanpa mengira gelaran yang disandang.
The full article is being collected. Available text is shown for now.